Air mata Dul Jaelani tumpah di depan 7,000 penonton, terkenangkan Ahmad Dhani di penjara

 

BIARPUN tanpa kehadiran penyanyi Ahmad Dhani di Konsert Dewa 19 Reunion Live in Malaysia Feat Ari Lasso & Once Mekel yang berlangsung pada malam Sabtu, namun kehadiran anaknya, Dul Jaelani menarik perhatian 7,000 penonton yang memenuhi ruang Stadium Malawati, Shah Alam.

Konsert itu boleh digambarkan penuh emosi terutama apabila Dul atau Abdul Qodir Jaelani, 19, mengalirkan air mata ketika penyanyi Ari Lasso menyanyikan lagu Hadapi Dengan Senyum dan Cintakan Membawamu Kembali.

Suasana konsert yang pada mulanya gamat terus bertukar pilu saat kamera mengalihkan fokus kepada wajah Dul yang sedang bermain keyboard sambil menitiskan air mata.

 

Ari memeluk Dul yang tidak dapat menahan sebak terkenang bapanya yang kini berada dalam penjara.

Kesedihan tambah dirasa apabila nyanyian Ari Lasso berlatarbelakangkan paparan gambar Ahmad Dhani bersama keluarga dan rakan seperjuangannya dalam kumpulan itu di skrin gergasi.

Malah, sebahagian penonton turut terkesan dan dilihat mengesat air mata dan berkongsi kesedihan yang dirasakan anak ketiga Ahmad Dhani dengan bekas isterinya, Maia Estianty.

Dalam pada itu, menerusi rakaman video yang ditayangkan ketika konsert itu berlangsung, Ahmad Dhani memohon agar peminat untuk mendoakan dia akan terus kuat.

“Kepada peminat-peminat di Malaysia, saya mohon supaya sentiasa mendoakan saya supaya terus kuat,” katanya menerusi rakaman video.

Ari Lasso menyanyikan 10 buah lagu.

Ahmad Dhani telah dijatuhi hukuman penjara 18 bulan oleh Mahkamah Jakarta Selatan selepas didapati bersalah atas tuduhan menyebarkan kata-kata kebencian di laman sosialnya pada Isnin lalu.

Konsert yang berlangsung selama lebih tiga jam itu turut dihadiri Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin Abdul Rahman.

Selain Ari, Once yang juga bekas vokalis Dewa 19 itu turut membuat persembahan dengan menyampaikan 12 lagu hit ketika zamannya bersama band itu serta beberapa lagu duet bersama.

Biarpun menyanyikan lebih 15 lagu namun Once masih tetap bertenaga sehingga konsert tamat.

Penonton yang hadir turut menyanyi bersama ketika ketika Ari Lasso mempersembahkan lagu Restoe Bumi, Takkan Ada Cinta dan Elang.

Manakala, nyanyian Once menerusi lagu Dewi, Pupus dan Arjuna mendapat sorokan penonton yang rata-ratanya memang menantikan lagu-lagu tersebut.

Tidak hanya Dewa 19, peminat juga dihiburkan dengan persembahan hebat oleh band Andra and the Backbone yang menyampaikan sembilan lagu popular mereka.

VIDEO:

Sumber: Mstar

Apa Kata Anda?

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*