
KUALA LUMPUR: “Siapa saya jika mahu dibandingkan dengan Datuk Seri Siti Nurhaliza yang sudah dianggap sebagai penyanyi legenda?
“Dari segi pencapaian, rasanya masih terlalu jauh untuk saya yang baru setahun jagung dalam industri muzik dapat mengejarnya,” kata penyanyi, Khai Bahar merendah diri.
Dilabel peminat sebagai Siti versi lelaki apabila meraih pelbagai pencapaian pada usia muda, penyanyi lagu Bayang itu menganggap, penghargaan diberikan terlalu tinggi kerana tidak mungkin dia mampu menandingi kehebatan artis nombor satu negara itu.
“Pencapaiannya menjadi pembakar semangat dan memberi motivasi untuk saya berusaha keras meraih kecemerlangan yang sama.
“Siapa yang tidak mahu berjaya sepertinya, pada masa sama sentiasa meletakkan keluarga sebagai insan penting yang menjadi tunjang kejayaan,” katanya.
KHAI Bahar bersama sebahagian peminat ketika majlis sambutan hari ulang tahun kelahirannya yang ke-25, kelmarin. Foto NSTP
Khai yang menyambut ulang tahun ke-25 pada 28 Februari lalu diraikan kelab peminatnya, Khai Bahar Empire (KBE) dalam majlis bertemakan Retro Night, malam kelmarin.
Sambutan hari jadinya lebih istimewa apabila anak kelahiran Perlis itu turut menerima kiriman video ucapan daripada penyanyi kegemarannya itu dan dikongsi di laman Instagram.
“Terkejut juga apabila menerima ucapan itu dan saya berterima kasih atas doa ikhlasnya. Tok Ti mengingatkan saya supaya terus merendah diri dan insya-Allah, nasihatnya itu akan saya pegang sampai bila-bila,” katanya.
Pada majlis itu, Khai turut menghiburkan peminat, termasuk dari Singapura dengan beberapa lagu antaranya single terbarunya, #123, selain menerima hadiah kerusi urut daripada mereka.
“Saya terharu dengan kesungguhan mereka yang bersusah payah berkampung di sini untuk memastikan segala perancangan berjalan lancar. Bertuah ada peminat seperti mereka yang menghargai bakat saya.
“Alhamdulillah, saya lihat ada beberapa wajah baharu yang turut hadir memeriahkan acara ini. Terima kasih kerana menghargai bakat saya,” katanya.
Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih! Koleksi Viral
Jom Like Page Kami Juga Di Facebook @Koleksi Viral
umber : BH via Sweetnutella
Leave a Reply