Tiba masa ibu angkat tunai janji… detik hiba anak dijaga sejak bayi perlu diserah kepada mak kandung – “Tak pernah niat rebut Amir”

KALAU sudah bergelar ibu, perasaan sayang terhadap anak kandung, anak tiri mahupun anak angkat seolah-olah tiada bezanya.

Bagi wanita ini, kenyataan yang harus diterima apabila terpaksa berpisah dengan anak angkat terlalu perit untuk diungkapkan.

Apatah lagi anak angkat tersebut dipelihara sejak bay1i lagi sehingga usianya hampir menjangkau enam tahun.

Namun tiada daya upayanya untuk menghalang hak mutlak ibu kandung kepada kanak-kanak tersebut yang akhirnya mengambil semula anak lelakinya itu.

Menerusi video yang dikongsikan di Facebook, kelihatan wanita tersebut dan keluarganya menangis teresak-esak saat mendakap kanak-kanak lelaki berkenaan sebelum dia diserahkan kepada ibu kandungnya.

Video tersebut sehingga kini meraih 4,200 perkongsian di Facebook dan dibanjiri ribuan komen netizen.

Keluarga Norlida menatang Amir bagai minyak yang penuh.

Ketika berkongsi cerita dengan mStar, Norlida Abu Hassan berkata sungguh pun pahit untuk ditelan, namun dia reda dengan ketentuan Ilahi.

“Bukan kata tak reda, saya sedar akhirnya Amir akan kembali kepada ibu kandungnya juga namun sedih sangat nak berpisah kerana hampir enam tahun keluarga kami memeliharanya, sejak dia berusia dua bulan.

“Di sini, dia ditimang dengan penuh kasih sayang sebab dia adalah ‘adik bongsu’. Manakala anak-anak saya yang lain dah besar semuanya, yang paling bongsu pun 17 tahun. Abang-abang dan kakak-kakaknya layan dia dengan penuh kasih sayang,” kata wanita berusia 50 tahun ini.

 

Sepanjang besarkan Amir, saya sentiasa terbuka dan terangkan mengenai ibu kandungnya. Tak pernah pun terniat untuk rebut Amir.

NORLIDA ABU HASSAN

IBU ANGKAT

Menyingkap kembali bagaimana Amir berada di bawah jagaannya, menurut Norlida, dia hanya menghulurkan pertolongan kerana ketika itu ibu kandung kanak-kanak tersebut sedang menyambung pengajian dan masih belum stabil dari segi kewangan.

“Ibunya adalah rakan kolej anak saya. Anak saya selalu bercerita dia simpati dengan kakak seniornya yang terpaksa jaga babyy dalam masa yang sama bekerja dan belajar.

“Memang saling tak mengenali pun, tapi saya turut simpati bila dengar cerita anak. Kemudian saya tawarkan pertolongan untuk jaga bay1inya itu. Saya dengan berbesar hati terima bayi tersebut seperti anak sendiri.

“Kepada ibunya, saya katakan usah bimbang… belajar dan selesaikan urusannya dulu, hal perbelanjaan susu, lampin pakai buang jangan difikirkan. Ada la rezeki Amir ni nanti.

Anak-anak kandung Norlida melayan Amir seperti adik bongsu mereka.

“Hari demi hari hinggalah menjangkau usia Amir enam tahun, kemudian ibunya serius suarakan hasrat nak ambil Amir semula. Pada tanggal 13 Oktober lalu, ibu kandung Amir datang menjemputnya di rumah kami di Rawang, Selangor untuk dibawa pulang ke Melaka,” cerita ibu kepada lima cahaya mata ini.

Namun kata Norlida, dia sedikit terkilan kerana tidak berpeluang untuk menyambut hari jadi Amir yang jatuh pada Disember akan datang.

“Amir nak sangat kereta mainan remote control tapi tak sempat nak beli sebab semua terlalu pantas. Pada mulanya nak awalkan sikit sambut hari jadi dia sebelum hujung Oktober ini, namun apakan daya.

“Saya selalu berhubung sama ada dengan ibu dan bapa tirinya untuk mengetahui perkembangan Amir. Rindu tak usah cakap. Saya tak boleh lihat baju sekolahnya, gambar ataupun video. Cepat luruh air mata.

Norlida tidak mampu melihat gambar atau barangan milik Amir kerana mudah tersentuh.

“Sepanjang besarkan Amir, saya sentiasa terbuka dan terangkan mengenai ibu kandungnya. Tak pernah pun terniat untuk rebut Amir sebab saya memang sedar akan hakikatnya. Saya anggap apa yang dilakukan untuk Amir adalah jambatan syurga untuk saya,” katanya.

Memahami situasi yang dihadapi kebanyakan keluarga angkat yang turut melalui situasi sama sepertinya, Norlida turut menitipkan nasihat kepada mereka yang berkenaan agar belajar untuk reda.

“Bagi mereka yang memelihara anak angkat, kena bersedia kerana anak tersebut memang bukan anak kandung kita. Kena faham hakikat tersebut. Lapangkan hati dan tanamkan dalam jiwa bahawa kita sedang menjaga rahmat Allah,” akhirinya.

 

Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih! 

Sumber : Mstar

Apa Kata Anda?

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*