Wawa Zainal kecewa

Kangar: Artis terkenal, Wawa Zainal dan suami, Aeril Zafril kecewa apabila sebuah syarikat yang beroperasi di Kedah menggunakan cap dagangan tidak berdaftar seakan menyamai cap dagangan berdaftar miliknya untuk menjual produk kosmetik.

Wawa berkata, syarikat terbabit memanipulasi pengguna dengan mengeluarkan produk yang menggunakan cap dagangan yang serupa dengan produk keluarannya malah dijual berleluasa di seluruh negara.

Jelasnya, kes ini bukan kali pertama berlaku ke atasnya sehingga memaksa dia melaporkan kejadian kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk tindakan lanjut.

“Produk ini bukan produk tiruan hingga memberi kesan kepada pengguna. Apa yang dikesalkan adalah, ia seolah-olah mengelirukan pengguna dengan menyangka produk itu adalah daripada Wawa Cosmetics.

“Sedangkan ia adalah sebaliknya kerana Wawa Cosmetics tidak pernah mengeluarkan produk berupa lima set penjagaan kulit seperti yang dilakukan syarikat terbabit.

“Sebelum ini, perkara sama berlaku ke atas Wawa namun selepas pihak kami mengeluarkan notis, pihak terbabit akur, namun syarikat ini berdalih dan terus menggunakan logo yang mengelirukan,” katanya ditemui di pejabat KPDNHEP Perlis hari ini.

Bagi Aeril, tindakan syarikat terbabit nyata mementingkan diri sendiri tanpa memikirkan kesan yang bakal dihadapinya dan Wawa.

“Cap dagangan ini bukanlah senang untuk didaftarkan malah ia memakan masa hampir dua tahun untuk diluluskan oleh KPDNHEP selepas melalui prosedur tertentu.

“Jadi, jika mereka berterusan menggunakan cap dagangan ini, ia nyata satu tindakan tidak bertanggungjawab kerana kami yang berpenat lelah namun mereka senang sahaja meniru dan menggunakan cap dagangan kami,” katanya.

Aeril berterima kasih kepada KPDNHEP kerana bertindak tegas dengan aduan disalurkan dan dia turut bersyukur wakil syarikat terbabit memberikan kerjasama ketika menemui mereka di sebuah premis di daerah ini semalam.

Sementara itu, Pengarah KPDNHEP Perlis Norazah Jaapar berkata, pihaknya merampas lebih 5,500 unit peralatan kosmetik bernilai lebih RM210,000 yang menggunakan cap dagangan tidak berdaftar di Taman Putra Utama di sini, tengah hari semalam.

“Pada serbuan jam 12.15 tengah hari, 16 individu terdiri daripada 13 wanita dan tiga lelaki berusia 20 hingga 31 tahun, termasuk seorang lelaki yang juga pemilik perniagaan berkenaan, ditahan bagi membantu siasatan.

“Serbuan dibuat selepas mendapat aduan daripada pemilik cap dagang berkenaan berikutan pengeluar produk terbabit menggunakan logo dan jenama yang dilihat boleh mengelirukan pengguna,” katanya pada sidang media di pejabat KPDNHEP Perlis.

Menurut beliau, premis terbabit sudah lebih tiga tahun beroperasi dan turut menjalankan perniagaan menggunakan ejen selain dijual secara dalam talian.

“Malah KPDNHEP juga sudah melihat iklan yang mengelirukan dikeluarkan syarikat terbabit.

“Ternyata ia boleh memanipulasi persepsi pengguna kerana menggunakan logo pemilik asal,” katanya.

Norazah berkata, syarikat terbabit dipercayai memiliki sebuah gudang dan beroperasi di sebuah daerah di Kedah.

Premis diserbu pula dipercayai pusat pengedaran produk di Perlis.

Kes disiasat mengikut Akta Cap Dagangan 2019 yang memperuntukkan hukuman denda dan penjara jika disabitkan kesalahan.

 
 
 
 
 
Lihat siaran ini di Instagram
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 

Siaran dikongsi oleh Wawa Zainal ®️ (@w4w4_zainal)

Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih

Sumber  :  hm

Apa Kata Anda?

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*