Saharul Ridzwan rugi RM30,000, stok serunding bervlat kerana tak laku – “Duit simpanan lebur… mungkin salah saya kerana kurang ilmu”

PERNAH berdepan kegagalan dalam perniagaan yang diusahakan, pelakon Saharul Ridzwan berkata ujian itu sama sekali tidak mematahkan semangatnya untuk terus berjuang dalam bidang ini.

Menurut Saharul, 32, dia pernah kerugian puluhan ringgit ribu kerana perniagaannya tidak mendapat sambutan kerana kurang ilmu dan terlalu yakin diri.

“Sebelum ini, saya pernah berniaga serunding, minyak wangi dan skrub muka, tetapi semuanya tidak menjadi kerana tiada pembeli. Dengan tiada ilmu, saya mengalami kerugian hampir puluhan ribu dan duit simpanan keluarga lebur.

“Contohnya perniagaan serunding semasa bulan puasa, saya rugi hampir RM30,000… stok tak terjual sampai bervlat sedangkan modal dikeluarkan dah banyak.

“Mungkin kerana kurang ilmu, sebelum meniaga kita acah-acah buat serunding terbaik di dunia tapi tanpa ilmu dan bimbingan, baru saya sedar tak boleh guna populariti semata-mata untuk jana pendapatan,” katanya kepada mStar.

Saharul tak putus asa meneroka bidang perniagaan.

Pelakon Cinta Sekali Lagi ini berkongsi pengalamannya itu semasa pelancaran produk wangian aromatik miliknya, Ode Scents yang diadakan secara maya, baru-baru ini.

Bagi perniagaan wangian aroma rumah dan kereta keluaran syarikatnya, Pack Houz Sdn Bhd, Saharul mengeluarkan modal sebanyak RM250,000 membangunkan jenama tersebut.

 

Kita kena sedar yang populariti tidak akan kekal lama. Ia boleh datang dan pergi!

SAHARUL RIDZWAN

PELAKON

Dalam pada itu, Saharul berkata populariti sebagai pelakon bukanlah tiket mudah untuk dia meraih kejayaan dalam perniagaan.

Sebaliknya, ilmu dan bimbingan daripada mereka yang pakar dalam perniagaan diperlukan bagi membangunkan sesuatu produk dan jenama.

“Sebenarnya tanpa ilmu memang susah nak bangunkan perniagaan sebab kita hanya pakar dalam bidang seni… semenjak itu saya banyak bergaul dengan usahawan berjaya dan mereka berkongsi tips dan bertukar pendapat.

Saharul jadikan isteri, Deena Emir dan anak-anak sebagai penguat semangat untuk terus maju dalam perniagaan.

“Saya sendiri kena mulakan dari bawah dan rasa sendiri kesusahan itu, kalau tengok perjalanan usahawan berjaya, mereka semua pernah rasa susah, jadi saya pun perlu merasai benda yang sama.

“Idola saya dalam bidang perniagaan ini ialah Shuib, awal-awal dahulu saya selalu bertanya dan dapatkan nasihatnya… ramai anak seni yang boleh dijadikan idola antaranya Datuk Rosyam Nor,” ujarnya.

Sementara itu, Saharul berkata dia mula mengorak langkah dalam bidang perniagaan kerana menyedari populariti sebagai seorang pelakon mungkin tidak bertahan lama.

“Kita kena sedar yang populariti tidak akan kekal lama. Ia boleh datang dan pergi. Saya tak boleh salahkan sesiapa jika orang sudah tak minat saya lagi seperti dahulu.

“Tetapi tidaklah terfikir sampai nak tinggalkan industri ini. Tempoh 10 tahun itu panjang. Dengan pekerjaan inilah saya boleh beli rumah, berkahwin dan dapat perihal pengalaman positif lain.

“Berlakon tetap menjadi minat utama saya. Saya pegang kata-kata seseorang. Jadikan berlakon sebagai satu hobi yang serius. Itu yang saya lakukan sekarang,” katanya.

 

Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!

Jom Like Page Kami Juga Di Facebook Koleksi Viral

Sumber : Mstar

Apa Kata Anda?

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*