Dah Melantak Separuh Pinggan, Baru Perasan Tersilap Majlis Kahwin

MAJLIS sosial seperti majlis perkahwinan kini dibenarkan untuk diadakan dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP).

Antara kita selalunya dijemput untuk menghadiri dan menyaksikan kenalan mahupun saudara-mara bergelar Raja Sehari, termasuk yang dilalui seorang gadis ini.

Namun, menerusi video yang dimuat naik di aplikasi TikTok, gadis tersebut berkongsi pengalaman tersilap hadir ke majlis perkahwinan orang lain.

“Part paling kelakar member dah makan setengah pinggan tapi salah wedding,” tulisnya.

Maria (kiri) bersama rakan-rakan ketika bercuti, termasuk rakannya yang merupakan pengantin (kanan).

Gadis berkenaan, Maria Najihah Balqis Asren berkata, dia menerima jemputan ke majlis perkahwinan seorang rakan pengembaraan di sebuah venue dekat Gombak, Selangor.

Dalam kejadian pukul 2 petang itu, dia hadir bersama seorang rakan menggunakan aplikasi Waze untuk ke lokasi majlis perkahwinan kerana tidak biasa dengan kawasan itu.

“Mengikut apliaksi Waze menggunakan nama lokasi yang diberikan, ia membawa kami ke sebuah dewan yang menganjurkan majlis perkahwinan.

“Pada mulanya saya bercadang untuk pergi ke pelamin terlebih dahulu, tapi kami memutuskan untuk terus ke meja makan sebab kawan saya dah lapar,” katanya kepada mStar.

Mesej bersama seorang lagi rakan yang tidak dapat hadir ke majlis kahwin.

Lebih mesra disapa Maria, gadis berusia 23 tahun itu bagaimanapun merasakan sesuatu yang tidak kena sebaik melihat pasangan pengantin di pelamin, dari jauh.

“Penampilan pengantin perempuan tu begitu berbeza, mengenakan hijab dan lebih kurus. Saya fikir ia mungkin penampilan baharunya.

“Kali terakhir kami travel bersama ke Krabi di Thailand pada 2018. Kami masih mengikuti perkembangan masing-masing di Instagram, tetapi pengantin perempuan di pelamin tu lain benar rupanya,” ujarnya yang berasal dari Pasir Gudang, Johor.

Dia kemudian terdetik hati untuk melihat pengantin secara lebih dekat selepas seorang lagi rakannya yang tidak dapat hadir ke majlis yang mahu mendapatkan kepastian.

“Separuh jalan ke pelamin, saya tengok memang lain pengantin tu. Bila dah kat depan pelamin, saya terkejut dan terdiam sebab memang sah pengantin di pelamin tu bukan rakan saya.

Rasa malu sangat kerana tersilap datang ke majlis kahwin orang lain. Dekat setengah jam juga dalam dewan tu

MARIA NAJIHAH BALQIS ASREN

“Bila saya periksa semula, rupa-rupanya ada dua nama yang sama lokasi berdekatan. Majlis yang kami masuk ni di sebuah dewan, dan satu lagi di aras tiga pusat beli-belah bersebelahan.

“Masa tu rasa malu sangat kerana tersilap datang ke majlis kahwin orang lain. Kawan saya dah separuh pinggan makan, dan saya sempat minum segelas… dekat setengah jam juga dalam dewan tu,” tambahnya.

Maria (dua, kanan) dan rakan lain bersama pasangan pengantin yang merupakan rakannya.

Maria yang bertugas sebagai guru berkata, tanpa mahu berlengah lagi, kedua-dua mereka segera meninggalkan majlis untuk bergegas ke lokasi majlis perkahwinan yang sebenar.

“Masa keluar di pintu utama, pihak keluarga pengantin nak beri doorgift (cenderamata). Tapi saya cakap secara baik beri alasan untuk jumpa seorang rakan di luar sekejap.

“Sebaliknya, saya terus hidupkan enjin kereta untuk ke majlis kahwin kawan tu. Jumpa je kawan yang kahwin tu di pelamin, dia tergelak-gelak dengar kisah kami,” katanya.

Mengakui pertama kali merasai pengalaman sebegitu, Maria memohon maaf kepada tuan rumah majlis perkahwinan kepada pasangan pengantin yang tidak dikenali itu.

“Tuan rumah, kami minta maaf sebab masuk majlis tanpa dijemput. Kami tersilap majlis rupa-rupanya. Terima kasih kerana menerima kami sebagai tetamu,” katanya sambil menambah menyerahkan sampul duit sebagai tanda penghargaan kepada tuan rumah.

PKPB: Majlis kahwin, akad nikah, bertunang dibenarkan… makan di kedai ikut keluasan meja – Ismail Sabri

PENGANJURAN majlis sosial kembali dibenarkan di negeri-negeri yang dikuat kuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Perkara itu diumumkan oleh Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada sidang media, petang Selasa.

“Di kawasan PKPB… majlis perkahwinan, pertunangan, akad nikah, kenduri-kendara, majlis akikah, doa selamat, tahlil dan sambutan ulang tahun, majlis hari lahir. reunion serta majlis sosial lain adalah dibenarkan,” katanya.

Beliau bagaimanapun berkata, kebenaran menganjurkan majlis sosial itu perlu mengikuti prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Selain itu, Ismail Sabri berkata, mesyuarat, bengkel dan seminar secara bersemuka serta persidangan dan pameran (MICE) turut dibenarkan di negeri-negeri di bawah PKPB.

“Bagi dine-in (makan di premis) turut dibenarkan mengikut keluasan meja, asalkan ada penjarakkan satu meter antara satu sama lain,” katanya.

Tambah beliau, kebenaran lain bagi pelaksanaan PKPB adalah sama seperti PKPB yang dilakukan pada tahun lalu, mengikut SOP yang ditetapkan.

Menerusi sidang berkenaan, Ismail Sabri mengumumkan negeri-negeri yang bertukar status dari PKP kepada PKPB, berkuat kuasa selama dua minggu bermula 19 Februari hingga 4 Mac depan.

Negeri-negeri yang bertukar status kepada PKPB itu adalah Kedah, Perak, Negeri Sembilan, Melaka, Pahang, Terengganu, Sabah termasuk Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Labuan.

 

Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!

Jom Like Page Kami Juga Di Facebook Koleksi Viral

Sumber: http://www.majalah-utusan.com/

Apa Kata Anda?

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*