“Tak kan semua nak beritahu orang?” – Selepas 7 tahun menunggu, sabar ‘hadap’ soalan sensitif… pasangan TTC masih harap timang zuriat tahun 2022

KURANG tiga bulan melangkah ke kalendar 2022, setiap individu pastinya mempunyai harapan atau impian yang ingin dicapai sempena tahun baharu.

Begitu juga dengan pasangan ini yang terus mengimpikan untuk menimang zuriat sebagai penyambung keturunan selepas kira-kira tujuh tahun menunggu.

“Kami masih menantimu wahai malaikat kecil,” demikian kapsyen pada video yang dimuat naik di aplikasi TikTok.

Menerusi video berkenaan, pasangan suami isteri ini membuat lakaran tahun demi tahun di atas pasir pantai, menandakan simbolik penantian mereka selama tujuh tahun.

Sehingga kini video berkenaan meraih melebihi 166,000 jumlah tontonan selain dibanjiri ribuan komen daripada netizen yang mengirimkan doa buat mereka.

 
 
 
 
 
View this post on Instagram
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 

A post shared by mStar (@mstaronlineofficial)

Berkongsi cerita dengan mStar, wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Azliza Syahirah berkata video tersebut dirakam secara spontan ketika dia dan suami, Mohd Azri, bercuti di Pulau Tioman, baru-baru ini.

“Masa tu kami sedang jalan-jalan dekat pantai. Kemudian terfikir, apa kata buat video dan suami pun okay. Tujuan utama adalah untuk merakam momen dengan suami.

“Saya kemudian terfikir untuk kongsi di media sosial dengan harapan untuk memohon doa daripada rakan-rakan followers. Mana tahu, ada di antara doa-doa ini akan diangkat dan dimakbulkan Allah,” ujar wanita berusia 30-an ini.

Senang disapa sebagai Syira, wanita ini berkata sepanjang dalam usaha mendapatkan zuriat atau ‘trying to conceive’ (TTC) selama tujuh tahun, dia pernah dua kali mengalami kegvguran.

ttc baru 1

Syira pernah dua kali kegvguran sepanjang tujuh tahun berusaha mendapatkan zuriat.

“Perasaan masa ‘kehilangan’ itu, memang terlalu sukar untuk diungkap. Namun akhirnya saya dan suami reda bahawa belum masanya untuk dikurniakan rezeki zuriat.

“Saya cuba pujuk hati, sekurang-kurangnya saya pernah merasai pengalaman membawa zuriat dalam rahim. Dan ini menjadi penguat semangat untuk saya yakin bahawa selepas ini pasti ada peluang lagi.

“Hati ini kuat mengatakan selepas ini pasti ada lagi. Namun kita tak boleh ambil kerja Tuhan. Kalau Dia izin, maka ada. Namun setiap kali selepas solat, tak pernah putus berdoa… kalau dapat seorang pun jadilah, kami bersyukur teramat,” ujarnya yang menetap di Kuantan, Pahang.

Sama seperti wanita TTC lain, Syira berkata dia juga tidak dapat ‘lari’ daripada mulut segelintir individu yang kurang sensitif apabila membangkitkan soal zuriat.

Kalau Dia izin, maka ada. Namun setiap kali selepas solat, tak pernah putus berdoa… kalau dapat seorang pun jadilah.

AZLIZA SYAHIRAH

“Tipulah tak down. Bila petik soal anak, pasti hati ni jadi macam tisu. Kadang ada orang tanya, ‘tak cuba buat itu atau tak cuba buat ini?’. Tak kan setiap apa yang kita lakukan, kita nak beritahu orang?

“Sebenarnya sepanjang penantian ini, pelbagai ikhtiar telah saya dan suami lakukan sehingga kami bercadang nak cuba IVF. Orang tak duduk dalam kasut kita, jadi mereka tak tahu apa yang kami lalui,” ujarnya yang menjalankan bisnes secara dalam talian (online).

Bagaimanapun Syira memanjatkan kesyukuran kerana keluarganya mahupun keluarga mentua begitu memahami dan tidak pernah memberikan tekanan.

Tidak menyangka perkongsiannya menjadi tular, Syira turut melahirkan rasa terharu bukan sahaja kerana ramai yang mengirimkan doa atau kata-kata semangat, malah ada yang menawarkan bantuan dari segi rawatan.

ttc baru 2

Syira tidak menyangka perkongsiannya menjadi tular sehingga ramai pihak tampil untuk menghulurkan bantuan.

“Tak sangka langsung boleh viral. Jika dilihat dalam video itu kami seperti pasangan yang kuat, namun sebenarnya masa edit tu sedih sangat.

“Alhamdulillah, terlalu ramai yang mengambil berat malah ada yang mencadangkan rawatan untuk kami.

“Akhirnya apa yang boleh saya kongsikan, kepada pasangan TTC lain, jangan terlalu fikirkan pandangan orang. Enjoy your life. Kita tak boleh tutup mulut orang.

“Kita hanya perlu terus kuat, berusaha, berikhtiar, berdoa dan akhirnya bertawakal. Selagi ada rahim, ikhtiarlah. Kepada orang lain, usahlah tanya soalan sensitif sebaliknya apa yang anda perlu buat adalah sama-sama mendoakan,” akhirinya.

 

Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!

Jom Like Page Kami Juga Di Facebook Koleksi Viral

Sumber : mStar

Apa Kata Anda?

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*